mutakhir

Terpaksa bermalam dalam hutan

Oleh Adnan Ibrahim

KEGEMBIRAAN 13 pendaki menawan puncak Gunung Berlumut berakhir penuh debaran apabila salah seorang daripada mereka cedera hingga memaksa sebahagian besar pendaki tidur satu malam di dalam hutan sebelum diselamatkan pasukan penyelamat pada jam 9.10 pagi tadi.

Difahamkan, kumpulan sembilan lelaki dan empat wanita tempatan itu berkongsi minat mendaki gunung dan berkenalan menerusi media sosial sebelum mengambil keputusan mendaki kira-kira jam 11 malam, Sabtu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Akob Sidek berkata, kumpulan berkenaan membuat pendakian Sabtu lalu sebelum berjaya tiba di puncak gunung pada jam 5.30 pagi semalam.

Katanya, selepas menyaksikan matahari terbit, kumpulan berkenaan menuruni bukit untuk pulang namun apabila tiba di kawasan hentian 4 kira-kira jam 2 petang, seorang pendaki wanita berusia 25 tahun tidak dapat meneruskan perjalanan akibat sakit lutut dan pengsan kerana menahan sakit.

“Usaha mereka menghubungi pasukan menyelamat tidak berjaya kerana tiada talian telefon sebelum empat daripada mereka turun untuk mendapatkan bantuan,” katanya melalui kenyatàan media, hari ini.

Akob berkata, bagaimanapun perjalanan empat orang yang turun itu terkandas akibat angin kencang dan terpaksa mencari perlindungan sebelum berjaya tiba di kaki gunung kira-kira jam 8.30 malam semalam dan menghubungi bomba.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam tadi sebelum satu pasukan terdiri daripada 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Tumiran dikejarkan ke lokasi.

“Turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat adalah empat anggota Balai Polis Kampung Gajah, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, empat kakitangan Jabatan Hutan dan dua orang tempatan yang bertindak sebagai jurupandu,” katanya.

Menurutnya, anggota terbabit mula membuat pendakian kira-kira jam 10 malam dan berjaya tiba di lokasi sekitar jam 2.30 pagi sebelum membuat persiapan untuk membawa mangsa turun.

“Pasukan keselamatan dan mangsa bersama ahli kumpulannya selamat tiba di kaki Gunung Berlumut pada jam 9.30 pagi tadi dan terus dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 4:02pm
d