mutakhir

'Jual' nama JPJ promosi lesen terbang

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PROMOSI lesen memandu tanpa ujian, penukaran nama geran tanpa pemilik asal dan selesaikan saman serta pembaharuan cukai jalan melebihi setahun.

Itu promosi ditawarkan sindiket pemalsuan lesen memandu Malaysia, mensasarkan mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu secara mudah tanpa melalui ujian seperti biasa.

Pemilik akaun juga dikesan menyamar sebagai pihak berwajib dengan menggunakan logo Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta profil aplikasi WhatsApp dengan nama jabatan itu untuk mengaburi mata orang ramai.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid mengesahkan promosi berkenaan adalah palsu dan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan logo jabatan.

“Ia sama sekali tidak betul. Di dalam iklan itu, ada prosedur yang dilanggar sedangkan ia tidak dibenarkan. Kita akan siasat perkara ini dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya tidak keliru dengan apa juga promosi seperti itu dan merujuk kepada pejabat JPJ berdekatan untuk mendapatkan maklumat tepat.

“Kita dapati mereka semakin berani menggunakan logo jabatan untuk meyakinkan orang ramai. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut untung menggunakan nama JPJ,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, pihaknya menerima aduan awam sejak dua hari lalu yang bertanyakan mengenai promosi itu.

Katanya, ia bukan saja membabitkan lesen terbang malah perkhidmatan lain yang ditawarkan ialah memperbaharui cukai jalan yang melebihi setahun serta penukaran nama geran tanpa pemilik asal bersama.

“Ini yang pengguna keliru, apakah JPJ sedang dalam rangka promosi dan sebagainya, sedangkan sebelum ini Kementerian Pengangkutan sudah mengisytiharkan perang.

“Perbuatan seperti ini jelas menjejaskan imej jabatan dan PPJK akan merujuk isu ini kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian segera,” katanya.

April tahun lalu, Harian Metro melaporkan sindiket didalangi individu dikenali sebagai Cik Wan kepada penduduk di utara tanah air yang ingin mendapatkan lesen terbang dengan hanya perlu menunggu di rumah.

Mendakwa ia didaftarkan secara terus di dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, terdapat tujuh kelas lesen yang ditawarkan pada harga RM390 hingga RM660 dan pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan depan dan belakang, gambar berukuran pasport, tandatangan serta alamat lengkap untuk tujuan pengeposan.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 4:06pm
d