mutakhir

Doraemon tarik kehadiran pelancong

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

BALAI Seni Lukis Negara bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengerusinya Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pameran lukisan berkenaan secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata, Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh pelusuk negara dan ia secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar untuk ke negara ini.

“Kita akan lihat bagaimana Malaysia dan Jepun dapat bekerjasama dalam hal ini, mungkin akan adakan pameran lukisan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Peminat Doraemon bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga mempunyai peminat pelbagai peringkat usia kerana kita tahu kartun berkenaan turut mempunyai nilai positif dalam setiap ceritanya,” katanya dalam ucapan perasmian kedai Doraemon yang pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, hari ini.

Pembukaan kedai sementara yang dibuka dari 7 Mac hingga 28 April itu turut menjual pelbagai jenis cenderahati termasuk cenderahati edisi terhad yang hanya di jual di klia2.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 5:15pm
d