mutakhir

Geng Korea bikin onar di KL?

Oleh Hasbi Sidek

KERJA vandalisme bermotifkan politik. Itu yang berlaku apabila bahagian luar tembok Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur diconteng menggunakan cat oleh empat lelaki yang memakai penutup muka, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, tembok berkenaan diconteng menggunakan tulisan Korea bermaksud 'Bebaskan Korea'.

"Siasatan mendapati empat lelaki yang tidak dikenal pasti, mempunyai fizikal tinggi, memakai topi serta memakai penutup muka menconteng dinding dengan cat di bahagian luar pagar kedutaan itu.

"Ia ditulis dalam tulisan Korea yang bermaksud 'Bebaskan Korea' serta beberapa simbol yang belum ditafsirkan maksudnya secara sahih," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan kejadian hanya membabitkan jenayah vandalisme.

Kes kini disiasat polis mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat terhadap harta benda.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 6:39pm
d