mutakhir

Dukung lari 2 tabung besi masjid

Oleh Abdul Rahemang Taiming

POLIS sedang giat mengesan dua suspek lelaki disyaki terbabit melarikan tabung besi masjid sebuah sekolah menengah di Tawau, Sabah, awal pagi tadi.

Ia susulan laporan polis dibuat setiausaha masjid berkenaan pada jam 3.09 petang tadi.

Siasatan awal polis mendapati suspek memotong pagar di belakang sekolah untuk menceroboh masuk ke dalam kawasan masjid sebelum mengambil dua tabung besi yang diletakkan di luar masjid.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata kelibat dua suspek terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di makmal komputer sekolah itu pada jam 2.10 pagi.

“Rakaman itu menunjukkan kelibat kedua-dua suspek menggunakan penutup muka dan memakai sarung tangan.

“Suspek kemudian membuka tabung peti besi itu di kawasan belakang masjid sebelum melarikan diri melalui lubang pada pagar berkenaan,” katanya.

Fadil berkata, kerugian wang tunai di dalam tabung itu dianggarkan RM300 dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan (Pecah Rumah Malam),” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 9:12pm
d