mutakhir

Amukan ribut `bantai' politeknik

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG wanita pengawal keselamatan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang, Perak, cedera akibat ditimpa siling runtuh susulan ribut yang melanda di kawasan berkenan lewat petang tadi.

Bencana itu turut mengakibatkan bumbung empat blok asrama di politeknik berkenaan diterbangkan ribut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Yussli Abd Latif, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 6.41 petang.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebanyak 20 pokok tumbang dan bumbung empat blok asrama termasuk asrama warden diterbangkan ribut.

"Terdapat seorang wanita yang juga pengawal keselamatan cedera di kepala akibat ditimpa siling yang runtuh," katanya.

Menurutnya, kecederaan mangsa agak serius kerana ditimpa di bahagian kepala dan sudah dihantar ke Hospital Slim River oleh kakitangan PSAS untuk mendapatkan rawatan.

"Buat masa ini bomba sedang mengarahkan semua penghuni asrama untuk keluar ke kawasan selamat dan kerja-kerja pembersihan serta pemantauan dilakukan.

"Kerja-kerja pembersihan pokok tumbang juga sedang giat dilakukan," katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 9:36pm
d