mutakhir

Maut tak sempat pintas Honda CRV

Oleh Rosli Ilham

LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV di Kilometer 2, Jalan Bukit Mentok-Kampung Tempurung dekat Chukai, hari ini.

Kemalangan pada 5.30 petang itu menyebabkan Muhammad Muzhafar Mohd Zaidi, 20, dari Kampung Binjai, Chukai, meninggal dunia pada 6.45 petang ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Rakannya yang membonceng motosikal itu, Nurul Ain Amatullah Ahmad Zahari, 20, cedera di muka dan menerima rawatan di hospital sama.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Honda CRV dipandu seorang guru, Karnaen Mursid, 55, dikatakan memberi isyarat untuk masuk ke kanan jalan di situ.

Pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa dari arah belakang cuba memotong Honda CRV berkenaan sebelum berlaku perlanggaran.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan sebelum mayatnya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Pemandu kereta terbabit tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 10:44pm
d