mutakhir

Buat penat je lari...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

TAKUT ditahan pihak berkuasa, pekerja asing warga Indonesia yang sedang menjual ikan, lari sejauh 500 meter sebelum ditahan anggota Imigresen.

Lelaki berusia 30-an itu antara 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Ops Jaja dan Ops Sapu di sekitar pasar dan lot kedai di Sungai Petani, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 9 pagi hingga 3 petang itu, pihaknya turut menahan lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki Myanmar.

“Kesemua warga asing terbabit bekerja sebagai pembantu di kedai yang menjual pelbagai jenis barang jualan seperti kedai runcit, kedai gunting rambut, kedai menjual santan, ikan dan alat ganti motosikal.

“Seramai 47 pekerja asing diperiksa namun hanya 10 ditahan selepas mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di Sungai Petani, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua PATI berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Katanya, mereka semua ditahan di lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 8:42am
d