mutakhir

Isteri maut, suami cedera, anak selamat

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

WANITA maut selepas lori yang dipandu suaminya merempuh treler yang terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 413 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan Hulu Selangor, hari ini.

Dalam kejadian 6.55 pagi itu, mangsa Eeda Farina Mohd Saleh, 30, bersama anaknya berusia lapan bulan menaiki lori dipandu suaminya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, bagaimanapun suami dan anaknya itu terselamat dalam kejadian berkenaan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 34 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Perai ke ibu negara dikatakan melanggar treler lain yang ketika itu bergerak di lorong kiri lebuh raya.

“Bagaimanapun, pemandu treler yang dilanggar itu tidak memberhentikan kenderaannya,” katanya.

Menurutnya, lori jenis Isuzu dipandu suami mangsa yang berada di belakang treler yang melanggar treler lain, tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler berkenaan.

“Kejadian mengakibatkan mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya berusia 34 tahun hanya cedera dan bayi mereka pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,”katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 11:39am
d