mutakhir

Peralat nama Tengku Mahkota Pahang [METROTV]

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Kuantan: Mahkamah Majistret di sini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM5,000 ke atas seorang ahli perniagaan yang memalsukan surat penganugerahan kuota pengeluaran kayu balak dikaitkan dengan Pejabat Tengku Mahkota Pahang pada 17 Januari lalu.

Tengku Kamarulzaman Tengku Ahmad, 63, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Nurunaim Abdullah selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan dibacakannya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Kamarulzaman yang beralamat di Taman Kota Ria, didakwa memalsukan surat penganugerahan kuota pengeluaran kayu balak di Hutan Simpan Lesung, Rompin bertarikh 3 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Gading Sari Villa beralamat di nombor 2 Jalan IM8/7 Bandar Indera Mahkota pada 4.30 petang, 17 Januari 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Nurunaim mengarahkan hukuman penjara tujuh hari itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan iaitu hari ini, jika tertuduh gagal membayar denda terbabit dia bakal berdepan tambahan hukuman penjara 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat manakala tertuduh diwakili Nur Hafidza Baharudin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman Nurunaim menyatakan ia adalah kesalahan serius berikutan menggunakan nama Tengku Mahkota Pahang dan bertanya mengapa tertuduh melakukan perkara itu yang dijawab tertuduh kerana ‘terdesak’.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas wakil Pejabat Tengku Mahkota Pahang menerima mesej bergambar surat penganugerahan kuota pengeluaran kayu balak di Hutan Simpan Lesung bertarikh 3 Oktober 2017 berkeluasan 2,023 hektar pada 17 dan 26 Januari lalu daripada dua individu termasuk wanita Orang Asli.

Semakan mendapati ia adalah palsu kerana Pejabat Tengku Mahkota Pahang tidak pernah mengeluarkan surat seperti itu dan nombor rujukannya juga tidak pernah digunakan pejabat itu manakala jenis tulisan serta blok tandatangannya juga berbeza.

Pejabat Sultan Pahang menerusi satu surat bertarikh 26 Mac 2018 turut mengesahkan dokumen itu adalah palsu dan satu laporan polis dibuat supaya siasatan dilakukan.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 11:53am
d