mutakhir

Itu prerogatif pasukan pendakwaan - Dr M

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

KEPUTUSAN mahkamah melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah, 26, dibuat berdasarkan undang-undang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keputusan menarik semula pertuduhan itu adalah prerogatif pasukan pendakwaan.

“Terdapat peruntukan atau hak untuk menarik balik pertuduhan dan ia sudah dilakukan.

“Saya tiada maklumat terperinci sebabnya tapi pihak pendakwaan sudah tarik balik,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang melepas tanpa membebaskan tertuduh pertama warga Indonesia, Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menerima arahan untuk menarik semula pertuduhan terhadap Siti Aisyah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Difahamkan keputusan itu dibuat selepas Kerajaan Malaysia bersetuju dengan permintaan Kerajaan Indonesia.

Berita berkaitan

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/03/432424/update-saya-gembira-dan-tak-sangka-siti-aisyah

Siti Aisyah dijangka pulang ke Indonesia hari ini [METROTV]

Siti Aisyah dilepas tanpa dibebaskan

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 2:36pm
d