mutakhir

Cubaan pindah balak gagal

Oleh Mohd Rafi Mamat

CUBAAN memindahkan 63 kayu balak jenis meranti bernilai lebih RM80,000 di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis tidak menjadi kenyataan apabila berjaya dikesan Unit Penguatkuasa (UPK) Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, semalam.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, turut dirampas tiga jentera iaitu jengkaut, jentolak dan lori yang digunakan untuk memindahkan balak selepas aktiviti menebang dilakukan.

Katanya, kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan individu berpengalaman membabitkan aktiviti bermula dari menentukan lokasi kawasan seterusnya membuat jalan tarik, menebang dan memindahkan balak.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan khidmat pemberi maklumat atau tonto yang mengawal laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai.

“Kita gagal menahan individu yang melakukan kegiatan berkenaan kerana mereka lebih awal dapat mengesan kehadiran anggota UPK Pahang Barat dan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Lipis.

“Kejayaan petang semalam hasil aktiviti rondaan dan pemantauan yang dilakukan secara berterusan di kawasan panas di daerah ini,” katanya.

Mohd Hizamri berkata, semua barangan rampasan kini ditempatkan di stor jabatan sebelum tindakan seterusnya dilakukan.

Katanya, selain melakukan operasi sekat, pihaknya akan menjalankan rondaan secara berjadual di seluruh negeri terutama membabitkan kawasan panas di setiap daerah bagi memastikan kegiatan menceroboh dan memindahkan hasil hutan simpan tanpa kelulusan tidak berlaku.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 3:16pm
d