mutakhir

Padah samun warga emas [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

TIGA sahabat berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas pertuduhan melakukan samun berkawan bersenjata ke atas pasangan suami isteri warga emas, Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Shahirullnizam Mohd Shariff, 24, Mohamad Abdullah Mohamed Noah, 30, dan Sopian Othman, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan samun berkawan bersenjatakan parang ke atas mangsa berusia 77 dan isterinya 70 tahun dengan merampas dompet serta beg tangan berisi barangan peribadi.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 8.30 pagi, di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya, pada 6 Januari 2019.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos, tidak mencadangkan jaminan bagaimanapun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, jaminan dicadangkan sebanyak RM30, 000 setiap seorang dan memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan.

Selepas mendengar hujah kesemua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Selain itu, kesemua tertuduh juga perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 April depan tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 3:31pm
d