mutakhir

Murid mula sesak nafas, loya, muntah sebelum rehat

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KEJADIAN berlaku sebelum waktu rehat apabila empat murid tiba-tiba mengalami sesak nafas, loya dan muntah,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Mohd Asri Abdul Kadir.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, empat murid terpaksa dikejarkan ke bilik rawatan sekolah selepas mengalami simptom keracunan dipercayai terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim.

Mohd Asri berkata, gelombang ketiga pencemaran itu dihadapi seramai 857 murid sekolah apabila terhidu bau pencemaran akibat dibawa angin kuat pagi tadi.

“Pagi tadi, sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan selama ini tiada tanda murid terhidu gas kimia terbabit sejak kejadian itu berlaku enam hari lalu, murid dan pengurusan sekolah tidak berdepan sebarang masalah kesihatan.

“Bagaimanapun keadaan cemas bermula jam 9.45 pagi apabila empat murid berdepan tanda loya, muntah dan pening,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil langkah utama dan mengarahkan semua murid berkumpul di kawasan lapang bagi memastikan keselamatan terjamin sejurus selepas empat murid mendapatkan rawatan.

“Saya arahkan semua murid dan pengurusan sekolah termasuk guru turun di dataran perhimpunan bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.

“Tidak lama kemudian bilangan murid yang mengalami tanda pening, loya dan muntah bertambah sebelum dikejarkan ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Menurutnya, murid sekolah itu silih berganti dikejarkan ke dewan dengan menaiki ambulans bermula jam 10 hingga 11.30 pagi bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Pada masa sama, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang untuk melihat kualiti udara, namun tahap bacaan sifar, selain mengesahkan ia berpunca daripada angin.

“Anggota balai bomba dan penyelamat mengarahkan penutupan sekolah dan mengarahkan kakitangan dan murid pulang ke rumah pada jam 11.15 pagi,” katanya.

Menurutnya, sekolah itu kemudian dikosongkan, selain guru turut menghantar murid orang Asli dari Teluk Kabung pulang ke rumah pada jam 12 tengah hari.

Sementara itu, tinjauan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mendapati petugas kesihatan membantu memberikan rawatan kepada kira-kira 100 murid sekolah terbabit.

Murid yang mengalami tanda sesak nafas dan muntah diberikan rawatan termasuk diberikan alat bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Situasi menjadi agak kelam kabut apabila ibu bapa turut hadir melihat keadaan anak masing-masing yang dirawat di dewan itu.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 4:12pm
    d