mutakhir

Tempoh percubaan tutup Jalan TAR

Oleh BERNAMA

CADANGAN menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur sebagai kawasan pejalan kaki akan dilaksanakan secara percubaan pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang April ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, sepanjang tempoh itu, hanya bas, teksi, polis, bomba, ambulans dan kenderaan penguat kuasa akan dibenarkan melalui jalan berkenaan.

Penutupan jalan dari 8 pagi hingga 12 tengah malam itu akan bermula dari Jalan Esfahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo hingga ke Jalan Melayu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memastikan Lorong TAR dan Lorong Gombak di kiri dan kanan Jalan TAR dikosongkan sepenuhnya daripada penjaja dan halangan.

“Ia bertujuan membolehkan kerja pemunggahan dan penghantaran bekalan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, penjaja yang sah di kawasan terbabit akan dipindahkan ke kawasan lain di sekitar Jalan TAR selepas kiosk dibina untuk kegunaan mereka.

Sementara, pasar malam dan bazar Ramadan akan dipindahkan ke lokasi baharu yang diumumkan kelak.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 5:02pm
d