mutakhir

Kanak-kanak kembar terperangkap 30 minit

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KANAK-kanak kembar lelaki berusia dua tahun terperangkap dalam sebuah kereta yang terkunci hampir 30 minit sebelum diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar, hari ini.

Difahamkan, ibunya yang berusia sekitar 30-an meninggalkan anaknya dalam kereta Proton Saga BLM untuk seketika sebelum seorang anak kembarnya tertekan kunci pintu kereta berkenaan 9.30 pagi tadi.

Panik dengan kejadian itu, ibu mangsa menghubungi talian MERS 999 sebelum disambungkan kepada APM untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan anaknya.

Pegawai Operasi APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mohamad Rizal Abdul Razak berkata, lima anggotanya menaiki sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati pasangan kembar itu terperangkap dalam kereta yang masih terkunci dengan si abang menangis ketakutan namun dipujuk adiknya.

Katanya, pada mulanya, anggota APM cuba mengumpan kedua-dua kanak-kanak itu supaya membantu membuka pintu dari dalam tetapi disebabkan takut, mereka tidak membukanya.

“Anggota kami menggunakan tali untuk membuka kunci kereta di sebelah pintu kiri dan operasi itu mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Pintu kereta itu akhirnya berjaya dibuka dan kedua-dua kanak-kanak itu selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohammad Rizal menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan anak bersendirian di dalam kereta bagi mengelakkan sebarang kemungkinan terutama ketika cuaca panas sekarang ini.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 5:32pm
d