mutakhir

Hadap penjenayah ke mahkamah secepat mungkin [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BENCANA besar Kementerian Pendidikan. Itulah gambaran diberikan Menterinya, Dr Maszlee Malik ketika mengulas pencemaran Sungai Kim Kim hingga menyebabkan empat sekolah terpaksa ditutup bermula Khamis lalu.

Beliau berkata, ia satu bencana tidak boleh diterima warga pendidik kerana mengakibatkan ratusan murid dan pelajar terpaksa dirawat di hospital.

“Hari ini saya sedih, terharu dan geram. Sedih kerana melihat anak murid, anak-anak kita hari ini yang juga keluarga Kementerian Pendidikan menerima bencana yang tidak boleh diterima.

“Sudah tiba masanya kita tidak perlu toleransi lagi (terhadap penjenayah), tindakan tegas harus dikenakan kepada penjenayah ini,” katanya pada sidang media selepas melawat murid yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, hari ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi berkaitan bagi memastikan penjenayah yang menyebabkan pencemaran itu dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin dan menerima hukuman setimpal.

Dr Maszlee berkata, sehingga jam 5 petang tadi seramai 266 murid, pelajar dan guru dibawa ke HSI untuk mendapatkan rawatan, manakala 42 pesakit lain dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Seramai 35 daripada 42 individu yang dihantar ke HSA adalah murid dan pelajar, manakala selebihnya orang awam.

“Daripada jumlah itu, lima ditempatkan di zon merah (kritikal), 19 di zon kuning (separa kritikal) dan 18 lagi di zon hijau (tidak kritikal),” katanya.

Pada masa sama, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort.

“Saya yakin langkah lebih komprehensif akan diambil berdasarkan apa yang berlaku.

“Kita tidak jangka sekolah baharu pula timbul, bagaimanapun tindakan lebih profesional dan berhati-hati akan dibuat selepas ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 6:11pm
    d