mutakhir

Jumpa mayat hanyut dalam longkang

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MAYAT seorang lelaki dipercayai mangsa kemalangan yang tercampak dan dihanyutkan air hujan, ditemui dalam longkang berhampiran Kilometer 18.1J, Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah, Johor, petang semalam.

Mayat B Avinash, 22, ditemui orang awam kira-kira jam 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mayat lelaki di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dipercayai dari arah Taman Perling menghala ke Gelang Patah hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.

“Mangsa tercampak ke dalam longkang di pembahagi tengah jalan. Akibat kemalangan itu, mangsa cedera di bahagian badan, leher dan kepala sebelum dihanyutkan berikutan hujan lebat. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat pekerja kedai serbaneka di Singapura itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 7:25pm
d