mutakhir

Suka hati tuduh saya buang anak

Oleh Nor Amalina Alias

SEORANG ibu menafikan meninggalkan anak lelakinya berusia tiga tahun di sebuah stesen minyak di Melor, Kota Bahru semalam.

Wanita terbabit, Roshasniza Tuan Anuar Zani, 30, dari Kampung Padang Raja, Melor berkata, dia kesal apabila gambar anak lelakinya tular di laman sosial Facebook mendakwa dirinya meninggalkan kanak-kanak itu sendirian.

Ibu tunggal itu berkata, maklumat tidak benar itu menyebabkan dia menerima kecaman dari netizen yang melemparkan pelbagai tuduhan atas salah faham yang berlaku membabitkan anak bongsu daripada dua beradik itu.

Katanya, dia tidak meninggalkan anaknya, Mohd Atiq Haikal Aliff Fatihie, tiga tahun, di stesen minyak, namun sebaliknya dia meminta tolong bekas majikannya dipanggil Pak Din berusia lingkungan 40-an supaya menjaga anaknya sebentar kerana mempunyai urusan di luar jam 3 petang semalam.

“Masa saya keluar dari rumah, anak saya sedang tidur dan ada Pak Din yang menjaganya. Namun, selepas itu, saya diberitahu dia terjaga serta menangis mencari saya.

“Pak Din cuba memujuk dan membawa anak saya ke stesen minyak milik saudaranya yang tidak jauh dari rumah. Anak saya diletakkan sekejap di tempat gula-gula kapas di stesen minyak itu kerana Pak Din mahu ke tandas,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, anaknya kemudian dibawa masuk ke dalam stesen minyak oleh pekerja di situ dan ketika itu berlaku salah faham sehingga ada pihak mendakwa anaknya ditinggalkan.

Roshasniza berkata, dia terkejut apabila menyedari gambar anaknya tular di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook sejak semalam dengan dakwaan dia meninggalkan anak itu.

“Saya malu dan sedih apabila orang tuduh macam-macam kerana sebagai ibu saya sayangkan anak,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 10:34pm
d