mutakhir

Buat solat hajat mohon hujan

Oleh Ibrahim Isa

LEBIH 100 pesawah Kampung Teluk Rimba, Tangkak, merayu bantuan rakyat Johor melakukan solat hajat memohon hujan bagi membolehkan mereka menanam padi di sawah masing-masing.

Ketua Kampung Parit Sialang, Zulkifli Shakor berkata, ketika ini kemarau berpanjangan menyebabkan sawah di kampung berkenaan kering kontang mengakibatkan pesawah tidak boleh menanam semula benih padi.

“Biasanya pesawah akan menanam semula benih padi awal bulan ini sebagai satu daripada dua pusingan setahun, bagaimanapun apabila kemarau berterusan ia menjejaskan usaha mereka untuk menanam benih padi.

“Disebabkan tiada hujan lebat sejak lebih seminggu lalu, kami cuba menggunakan pam untuk mengepam air dari Sungai Kesang di kawasan berhampiran ke sawah.

“Malangnya, paras air Sungai Kesang terlalu cetek akibat kemarau menyebabkan kami tidak boleh melakukan apa-apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, biasanya padi akan matang dalam tempoh 100 hari dan melalui tempoh bertenang selama empat bulan sebelum pesawah melakukan tanaman benih padi.

Katanya, terdapat lebih 100 pesawah di Kampung Teluk Rimba dan Kampung Parit Sialang yang mengusahakan padi di sawah seluas 13.35 hektar.

“Saliran Sungai Kesang mengalir ke Melaka dan difahamkan, disebabkan kemarau pesawah di Kampung Teluk Rimba dan Sungai Rambai, Melaka turut terjejas kerana tidak boleh menanam benih padi.

“Berikutan itu, kami merayu bantuan rakyat Johor untuk melakukan solat hajat memohon hujan bagi membolehkan pesawah menanam semula benih padi dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, kami mengharapkan pihak berkuasa tampil menghulurkan bantuan atau cadangan bagaimana pesawah mahu meneruskan usaha menanam benih padi kerana sekiranya terlepas tempoh ini mereka akan menanggung kerugian,” katanya.

Menurutnya, setahun hanya dua kali sahaja pesawah di Tangkak akan menanam benih padi dan sekiranya terlepas pusingan ini, mereka berdepan risiko kehilangan satu pusingan.

Katanya, tanah seluas 0.4 hektar boleh menghasilkan kira-kira 1.6 tan metrik.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 12:49am
d