mutakhir

Huni sekolah usang

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seramai 12 keluarga daripada generasi kedua peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR, Lebir, dekat sini terpaksa tinggal di bangunan sekolah lama yang uzur kerana tidak mempunyai rumah sendiri.

Mereka tinggal di bekas bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir di sini, selepas kejadian banjir besar yang melanda negeri ini pada Disember 2014.

Antara keluarga yang tinggal di situ adalah Laila Jusoh, 38, yang terpaksa menjaga suaminya, Hariff Hamzah, 49, yang lumpuh akibat serangan angin ahmar dan seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun yang sering diserang sawan.

Laila berkata, pengurusan KESEDAR sebelum ini berjanji membina rumah untuk generasi kedua anak peneroka RKT namun hingga kini mereka tidak berbuat demikian.

Katanya, dia tujuh beranak bersama keluarga lain diberi kebenaran tinggal sementara di bangunan sekolah lama itu.

“Kerana kesempitan hidup, kami tiada pilihan lain, selain terpaksa tinggal di sebuah bilik usang di bangunan sekolah beralaskan lantai simen.

“Saya menumpang di bangunan itu bersama keluarga adik yang tinggal di bilik bersebelahan dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia bersama adik-beradik menumpang di rumah bapa di RKT KESEDAR namun selepas banjir besar Disember 2014, mereka menumpang di bilik usang bangunan lama sekolah itu sehingga sekarang.

Khairul Ahmad, 35, berkata, walaupun keadaan bangunan sekolah itu uzur, dia tetap tinggal di situ kerana tidak mahu tinggal bersesak di rumah ibu bapanya.

“Semua generasi kedua yang tinggal di situ mempunyai keluarga sendiri dan masih menunggu rumah dijanjikan pengurusan KESEDAR. Kami hendak berpindah ke mana lagi kerana tidak mempunyai rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar KESEDAR, Othman Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak dahulu status sebenar generasi kedua KESEDAR yang dikatakan tinggal di bangunan sekolah lama di RKT Lebir itu.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mereka tinggal di bangunan itu atas kebenaran disebabkan tidak mempunyai tempat tinggal selepas kejadian banjir besar lima tahun lalu.

“Kami perlu siasat dulu berhubung perkara itu kerana kami ada rancangan membina rumah generasi kedua di RKT Paloh tidak lama lagi.

“Ini disebabkan di RKT Lebir tidak mempunyai tanah bagi pembinaan rumah generasi kedua dan kami akan teliti masalah dihadapi 12 keluarga terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 7:30am
d