mutakhir

Macam pelesit

Oleh Hadzlihady Hassan

BUTTERWORTH: Hilang sekelip mata. Itu yang berlaku apabila sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) yang menyerbu Pasar Apollo di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 9 pagi itu, PATI yang bekerja di kawasan pasar terbabit mengesan kehadiran anggota JIMPP sebelum mereka terus melarikan diri.

Bagaimanapun, beberapa PATI yang sibuk menjalankan urusan perniagaan ditahan selepas anggota JIMPP mengepung kawasan terbabit.

Timbalan Penolong Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Izham Idris berkata, dalam serbuan itu seramai 12 pekerja warga tempatan dan asing diperiksa.

“Hasil pemeriksaan kami menahan empat PATI yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Semua PATI yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki Myanmar dan seorang wanita Vietnam,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Difahamkan, ada warga tempatan yang menyewakan premis atau lot pasar terbabit kepada warga asing sekali gus menjadikan lambakan PATI bekerja dan menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Jika didapati melakukan kesalahan itu, pemilik premis atau lot pasar berkenaan boleh dikenakan tindakan ditarik kembali lesen oleh pihak berkuasa tempatan.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 8:01am
d