mutakhir

Penerokaan haram bawa padah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

HASRAT lelaki warga emas ingin membina kediaman di kawasan tanah Hutan Simpan Kekal terbantut apabila dia ditahan bersama pekerja upahannya ketika sedang leka menebang dan meratakan tanah secara haram di Langkawi, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Abd Ramli Izauyahhudin berkata, lelaki berusia 70 dan 40 tahun itu dikesan melakukan penebangan dan meratakan tanah secara haram di Kompartmen 5 Hutan Simpan Gunung Raya sejak seminggu lalu.

Katanya, hasil maklumat dan risikan, dua lelaki tempatan itu berjaya ditahan 10.30 pagi.

“Turut dirampas adalah jengkaut penggali yang digunakan bagi aktiviti berkenaan. Berdasarkan siasatan awal mereka dipercayai melakukan penerokaan bagi tujuan mendirikan rumah.

“Dianggarkan pokok di tanah seluas 0.3 hektar ditebang dan dibersihkan tanpa kebenaran. Nilai kerugian adalah kira-kira RM50,000,”katanya dalam kenyataan di Langkawi, hari ini.

Abd Ramli berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut JPNK.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana menebang pokok yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan kekal dan Seksyen 47(1) akta yang sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 50(1) kerana menggunakan kenderaan bermotor di dalam hutan yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000,”katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 9:31am
d