mutakhir

'Kami tak pernah menuba ikan' [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

EMPAT penduduk Felda Kota Gelanggi Dua, dekat Jerantut membuat laporan polis berhubung penularan gambar mereka di media sosial yang dikaitkan dengan kegiatan menuba ikan di Sungai Lepar, Kuantan.

Hairul Nizam Termiji, 43, Mohd Simen Abdullah 53, Abdul Ghani Ismail, 66, dan Mohd Azhar Adnan 49 mendakwa gambar mereka digunakan beberapa pengguna Facebook (FB) sejak kelmarin untuk mengaitkan dakwaan mereka terbabit kegiatan menuba ikan untuk mendapat hasil ikan lampam yang banyak.

Hairul Nizam berkata, pihaknya kesal kerana gambar dan kenderaan mereka ditularkan sehingga menyebabkan netizen menuduh kumpulannya melakukan kesalahan menuba ikan sedangkan mereka tidak pernah melakukannya.

“Walaupun gambar kami tiada secara nyata pada gambar ikan yang banyak itu, tetapi gambar lain termasuk gambar kumpulan kami dipaparkan bersama-sama seolah-olah menunjukkan kami melakukan kesalahan menuba ikan.

“Kami yakin gambar ikan itu adalah gambar lama dipercayai diambil di Terenggnu, tahun lalu yang pernah tersebar di FB dan dimuat naik sekali lagi untuk menokok tambah cerita palsu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut (IPD), hari ini.

Hairul Nizam berkata, kumpulannya memang selalu masuk ke hutan untuk memancing sebagai kegiatan riadah namun mereka tidak pernah menuba ikan yang salah di sisi undang-undang.

“Saya tidak menolak kemungkinan tujuan gambar itu disebarkan di media sosial adalah untuk memburukkan kumpulan kami yang sering masuk hutan dan berjaya menangkap ikan.

“Kami berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap penyebar maklumat palsu itu yang memburukkan orang lain dengan niat tertentu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, dia sedih dan marah apabila dikaitkan dengan kegiatan menuba ikan yang disifatkannya sebagai perbuatan tidak bermoral dan mencemarkan alam sekitar serta hidupan di sungai.

“Kami memberikan masa tiga hari daripada tarikh laporan polis dibuat kepada pengguna FB supaya mereka memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 10:15am
d