mutakhir

Panik anak terhidu bau pelik [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SUASANA panik menyelubungi Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang apabila ramai ibu bapa mendapatkan maklumat anak mereka dirawat di situ.

Situasi itu mengakibatkan petugas kesihatan terpaksa meredakan keadaan dan meminta ibu bapa dan penjaga mereka bertenang bagi memudahkan urusan rawatan anak-anak.

Tinjauan Harian Metro mendapati, ibu bapa mula membanjiri kawasan itu sejak 10 pagi selepas kumpulan pelajar dikejarkan ke dewan itu akibat sesak nafas, pening, loya dan muntah.

Petugas kesihatan bagaimanapun tidak membenarkan ibu bapa melihat anak mereka sehingga rawatan diberikan selesai.

Seorang bapa, Mohd Zakir Saadon, 47, panik selepas mendapat tahu anaknya dikejarkan ke dewan itu akibat pencemaran.

Katanya, dia dimaklumkan anak bongsunya, Adam Fahrin, 10, pening dan muntah di kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, pagi tadi.

“Kejadian berlaku pada waktu rehat dan anak saya mendakwa terhidu bau pelik sebelum pening dan loya.

“Anak saya kemudian dikejarkan ke dewan itu dan keadaannya stabil meskipun mengalami gejala akibat pencemaran dari sisa buangan gas kimia di Sungai Kim Kim,” katanya.

Katanya, dia yang mendapatkan maklumat berhubung anaknya itu lega apabila disahkan sedang mendapatkan rawatan.

“Memang saya cemas dan tidak sangka tanda pencemaran itu turut dirasai sekolah anak saya.

“Panik dengan keadaan itu saya bergegas ke dewan ini dan dimaklumkan keadaannya stabil dan selamat sebelum dibenarkan pulang pada 1 tengah hari,” katanya.

Katanya, anak bongsunya itu sudah mengalami gejala itu sejak malam tadi, namun keadaan stabil dan tidur seperti biasa sebelum memulakan sesi persekolahan hari ini.

“Anak saya memang mempunyai masalah pernafasan dan bila udara tercemar seperti ini keadaannya bertambah teruk,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 3:27pm
d