mutakhir

Baru main mata...belum merisik pun!

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“SEKARANG kita dalam peringkat main mata sahaja,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kerjasama antara PAS dan UMNO.

Mohd Amar berkata, PAS berpandangan masih terlalu awal untuk memuktamadkan kerjasama membabitkan dua parti itu.

“Kita (PAS) dengan UMNO lebih kepada peringkat ta’awun dalam PRK belum sampai peringkat ‘tahaluf’.

“Sekarang ini masih terlalu awal, merisik pun belum lagi, kalau saya gunakan bahasa, baru main mata sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengemukakan cadangan supaya Barisan Nasional dan PAS membentuk kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir mereka sebagai usaha seterusnya bagi mengukuhkan agenda perpaduan ummah.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa bersama sudah dibentuk untuk membincangkan kerjasama membabitkan dua parti itu.

“Menerusi jawatankuasa ini, kita akan bincang keperluan sebelum diangkat kepada parti dan dibawa ke muktamar untuk diputuskan. Proses ini panjang lagi, setakat ini kita lebih tertumpu kepada PRK,” katanya.

Ditanya sama ada kerjasama ini akan memberi kesan kepada bukan Melayu, Mohd Amar menafikan perkara itu.

“Memang kalau PAS dan UMNO bekerjasama, tiada orang bukan Melayu tapi bukan bermakna kita meminggirkan mereka. Kalau kita jadi kerajaan, sudah tentu kita ambil kira semua sebab semua rakyat kita,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan kerajaan campuran, Mohd Amar berpandangan supaya dikekalkan pentadbiran sedia ada.

“Tiada perbincangan mengenai perkara ini, pada saya biar kekal sehingga habis penggal. Kita pun bukan suka nak ambil tengah jalan.

“Untuk masa sekarang lebih baik kita jadi pembangkang berkesan daripada kuasai kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 3:43pm
d