mutakhir

Tarikan baru Ipoh

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

PERKHIDMATAN bas `Hop On Hop Off’ yang bakal diperkenalkan di Ipoh pada 23 Mac ini mampu menarik kunjungan pelancong ke Perak.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, syarikat Perak Transit Berhad adalah operator yang dilantik dan berpengalaman dalam sektor pengangkutan itu.

“Untuk tiga bulan pertama, satu bas separuh berbumbung dan dua bas berbumbung sepenuhnya akan digunakan. Semua bas yang mempunyai separuh bumbung pula akan digunakan sepenuhnya pada Julai ini.

“Setiap sebuah bas akan membabitkan lima pusingan dengan satu pusingan dianggarkan mengambil masa lebih kurang satu jam 30 minit dan keseluruhannya membabitkan 15 pusingan di bandar raya Ipoh,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Perak Tourism dan Perak Transit Berhad di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

Perak Transit Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Cheong Peak Sooi manakala Perak Tourism oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Zuraida Md Taib.

Sebanyak 12 stesen terbabit iaitu Terminal Meru Raya, Movie Animation Park Studios, Mahkamah Tinggi Ipoh, Little India, Bandar Lama Ipoh, Telekom Malaysia, Jalan Brewster, Hotel Weil/Ipoh Parade, Gerbang Malam, Octagon, The Majestic dan Masjid Panglima Kinta.

Ahmad Faizal berkata, perkhidmatan itu juga menggalakkan penyertaan pihak swasta terutama yang terbabit secara langsung di dalam industri pelancongan untuk menaja perkhidmatan berkenaan supaya dapat diteruskan dalam jangka masa panjang.

“Tiket akan mula dijual ketika MATTA Fair di ICC (Ipoh Convention Centre) dan Kuala Lumpur.

“Bagi tujuan memperkenalkan perkhidmatan ini, tambang tiket promosi yang diperkenalkan adalah RM12 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak untuk pelancong domestik manakala RM35 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak untuk pelancong antarabangsa.

“Harga promosi ini ditawarkan sehingga akhir bulan depan dan tiket sah sehingga 31 Disember ini sahaja. Masa beroperasi antara 8.30 pagi hingga 9 malam,” katanya.

Keterangan lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web Tourism Perak di www.tourismperakmalaysia.com.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 4:53pm
d