mutakhir

Ratapan si ayah...

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEORANG bapa hanya mampu menahan sebak ketika mengusap wajah anak lelakinya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 221.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu menyebabkan mangsa, Mohammad Ameerul Hakeem Menhat, 27, yang juga kelindan lori maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kejadian itu membabitkan lori dipandu bapa mangsa yang berusia lingkungan 60-an dan sebuah treler dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Johor Bahru.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila lori dinaiki mangsa merempuh bahagian belakang kanan treler di hadapannya.

“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba kerana bahagian depan kanan kenderaan itu remuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.43 petang sebelum dua jentera masing-masing dari BBP Ayer Keroh dan BBP Rembau bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian didapati seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk penumpang.

“Mangsa yang tersepit kemudian berjaya dibawa keluar kira-kira lima minit kemudian selepas pihaknya terpaksa menggunakan peralatan pemotong hidrolik,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 6:22pm
d