mutakhir

4 polis direman kes dadah

Oleh Nur Saliawati Salberi

LAPAN individu termasuk empat anggota polis direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, bagi membantu siasatan membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Perintah reman ke atas semua suspek berusia 27 hingga 54 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Analia Kamarudin.

Mereka direman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39a(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Difahamkan, dua daripada anggota terbabit bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, manakala dua lagi masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah serta Balai Polis Bukit Baru.

Lapan individu itu ditahan di Kuarters Polis Ayer Keroh pada 7.30 malam tadi.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menjumpai paket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 5.7 gram.

Malah, saringan awal ujian air kencing ke atas suspek turut didapati positif methamphetamine.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua lapan individu berkenaan.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 8:59pm
d