mutakhir

Terima kasih abang polis

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

TINDAKAN pantas polis menyekat laluan keluar Terminal Bas Bandar Permaisuri berjaya menyekat cubaan seorang lelaki melarikan sebuah kereta pada tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, kereta Honda Civic 2.0 berkenaan dilarikan seorang lelaki sebelum ia terbabas dan melanggar longkang berhampiran Terminal Bas Bandar Permaisuri selepas panik apabila dikejar polis.

Sebelum kejadian, pemilik kenderaan itu yang berusia lingkungan 30-an bekerja sebagai Penolong Jurutera Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Setiu sedang bertugas di lokasi berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Tong.

Mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia parkir kenderaannya di bahu jalan di lokasi berkenaan untuk memantau kerja membaiki lampu jalan di situ.

Menurutnya, tiba-tiba dia menyedari keretanya yang dikunci dan diletakkan kira-kira 10 meter dari tempatnya berada dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

“Terkejut melihat kereta saya dilarikan lelaki itu, saya menjerit dan cuba menahan beberapa kenderaan di lokasi sebelum seorang lelaki yang memandu Toyota Hilux berhenti dan mahu membantu.

“Dalam masa sama, seorang rakan sekerja yang turut berada di lokasi segera menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya memecut laju kenderaan miliknya sejauh kira-kira 30 kilometer ke arah Jertih sebelum ia dikesan polis.

“Setibanya di lokasi, saya lihat polis sudah menahan lelaki terbabit. Saya lega kereta ditemui semula.

“Terima kasih atas tindakan pantas polis yang membolehkan kereta saya dikesan dan lelaki itu berjaya ditahan dalam masa 15 minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris ketika dihubungi berkata, sepasukan empat pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu yang menerima maklumat terserempak kenderaan dicuri itu di Sungai Tarom.

“Pegawai dan anggota berkenaan kemudian bertindak mengejar suspek sehingga ia memasuki Terminal Bas Bandar Permaisuri untuk mengelak ditahan polis.

“Bagaimanapun, tindakan pantas pegawai dan anggota menyekat laluan keluar daripada terminal bas itu menyebabkan suspek panik dan mengundurkan kenderaan sebelum terbabas lalu melanggar longkang di situ.

“Suspek kemudiannya ditahan dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berusia 30-an itu positif dadah methamphetamine dan pemeriksaan turut mendapatinya mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Menurut beliau, lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 9:49pm
d