mutakhir

Wira kita jangan dilupa!

Oleh Ibrahim Isa

YAYASAN Pasir Gudang mengagihkan 1,300 pek makanan ke Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, Dewan Taman Mawar, Dewan Jalan Cermai 16, Bilik Gerakan Hospital Sultan Ismail (HSI), Bilik Gerakan Bencana Aqabah dan 10,000 unit topeng muka kepada lebih 1,000 petugas dan pesakit akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata, Kerajaan Negeri Johor melalui jabatan dan agensi berkaitan akan memastikan keperluan dan kebajikan mangsa dan petugas sentiasa dijaga dan mencukupi.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengedarkan makanan berlauk, roti, biskut, air kotak dan air mineral kepada mangsa dan keluarga di HSI sejak kejadian bermula, 7 Mac lalu.

"Pada masa sama, saya meminta JKM dan Yayasan Pasir Gudang bekerjasama untuk memastikan makanan mangsa, kakitangan perubatan dan petugas sentiasa mencukupi.

"Selain itu, semalam, dua pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kota Masai berusia 5 dan 21 tahun (masalah pembelajaran) menunjukkan simptom selsema dan muntah sebelum guru pusat berkenaan membersihkan mereka dan dihantar ke hospital serta klinik swasta.

"Mereka kini berada dalam keadaan baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berikutan itu PDK Kota Masai dan PDK Ulu Tiram yang terletak dalam radius kawasan pencemaran diarahkan ditutup buat sementara sehingga keadaan pulih seperti biasa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa bantuan bencana, petugas serta anggota yang komited untuk berkhidmat bagi mengatasi masalah pencemaran ini.

"Terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa sedia menghulurkan bantuan dan barangan seperti makanan, peralatan perubatan dan topeng kepada petugas serta mangsa dalam insiden ini.

"Walaupun Menteri Besar menegaskan tugas utama membersihkan Sungai Kim Kim, saya berharap hukuman berat dikenakan ke atas pihak yang mencemarkan sungai kerana ia perbuatan tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa penduduk," katanya.

Menurutnya, pada masa sama orang ramai diingatkan jangan mudah percaya berita yang tular tanpa mendapat pengesahan pihak berkuasa dan hanya menggunakan topeng R95.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 10:10pm
d