mutakhir

Perusuh didakwa esok

Oleh Nur Izzati Mohamad

EMPAT daripada 11 penduduk Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang yang ditahan Khamis lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, esok.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua empat lelaki berusia 30 hingga 51 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Seksyen 186 Kanun Keseksaan adalah kerana kesalahan menghalang penjawat awam yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian Khamis lalu, kerja meroboh beberapa unit rumah di tanah berkenaan bertukar kecoh hingga menyebabkan seorang anggota polis dan wakil Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dilaporkan cedera dalam insiden terbabit.

Berikutan itu, polis menahan seramai 11 penduduk kerana menghalang tugas selain mencederakan penjawat awam dengan sengaja.

Pada 2010, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan atas Lot 208 Seksyen 2, Tanah Wakaf Abdul Cauder seluas 1.093 hektar di Jalan Mengkuang.

Berdasarkan perancangan awal, sebanyak 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat dirancang dibina bagi tujuan penempatan semula 46 penghuni terbabit.

Penghuni ditawarkan rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan mereka turut diberikan bayaran sewa rumah sementara sebanyak RM500 sebulan sehingga rumah pangsa kos sederhana di situ siap.

Sehingga tempoh tawaran tamat pada September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran itu manakala 14 lagi enggan keluar.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 10:42pm
d