mutakhir

Takdir hidupku!

Oleh Mohd Khidir Zakaria

NILAI: “Mungkin ini takdir hidup kami sekeluarga. Saya reda dengan ketentuan Allah,” kata Nurul Ain Zulaikha Husin, 17, menghidap masalah tulang belakang bengkok (Scoliosis).

Remaja itu berkata, lebih memeritkan apabila ibunya Sariah Mansor, 51, menghidap kencing manis hingga kaki kiri terpaksa dipotong, manakala bapanya, Husin Alias, 58, adalah pesakit buah pinggang.

Meskipun diuji dengan pelbagai dugaan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Enstek ini, tetap tabah dan kuat.

Walaupun dia sendiri menderita akibat masalah tulang belakang bengkok remaja tabah ini tetap mahu berbakti dan membantu menguruskan keperluan ibu bapanya.

“Saya pernah tidak ke sekolah selama dua bulan demi menjaga ibu yang ketika itu terlantar di hospital selepas menjalani pembedahan memotong kaki kirinya.

“Pergerakan saya terbatas dan akan berasa sakit kalau banyak bergerak. Tapi, saya kena kuat kerana ibu dan ayah kini tidak boleh melakukan kerja berat serta memerlukan rehat secukupnya,” katanya di rumahnya di Kampung LBJ di sini, semalam.

Nurul Ain, ditemui ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang menghulurkan bantuan.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Sariah bernombor 05076020034796.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 7:00am
d