mutakhir

Kaji semula kelemahan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mengkaji semula kelemahan yang wujud dalam pelaksanaan lima koridor wilayah pembangunan ekonomi bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan dalam kadar segera.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob selepas melihat hanya dua koridor wilayah pembangunan ekonomi yang dianggap berjaya iaitu Koridor Wilayah Iskandar Malaysia dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Ini hanya pandangan persendirian saya yang pernah terbabit dalam kerja perancangan koridor berkenaan. Saya tidak kata lima koridor berkenaan tidak berjaya, tetapi kadangkala ada masalah dihadapi koridor berkenaan.

“Sebagai contoh Koridor Pembangunan Sabah (SDC) membabitkan satu negeri saja manakala Wilayah Koridor Pantai Timur (ECER) pula ada tiga negeri dan tentu banyak cabaran bagi melaksanakan pembangunan di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel dalam Forum Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, semalam.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, semua koridor yang dinyatakan itu adalah cetusan idea Abdullah supaya pembangunan dapat dilakukan secara seimbang dan rakyat dapat merasai kemajuan berkenaan.

Sulaiman berkata, berbanding era pentadbiran sebelum Abdullah, pembangunan oleh kerajaan ketika itu hanya memfokuskan kepada kawasan bandar saja seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

“Jadi Tun Abdullah mencadangkan satu inisiatif supaya seluruh negara dapat menikmati pembangunan menerusi jajaran lima koridor terlibat,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 7:30am
d