mutakhir

Lima tahun lahir 100 peniaga

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Golongan wanita terutama kategori kumpulan B40 dan ibu tunggal berusia 23 hingga 36 tahun yang ingin menceburi bidang keusahawanan diminta supaya tidak melepaskan peluang menyertai Program Keusahawanan Wanita (WEP) secara percuma anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat itu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan peruntukan kira-kira RM5 juta yang akan menawarkan kurus latihan, bimbingan mentor dan bantuan perniagaan kepada 20 wanita setiap tahun dengan sasaran melahirkan 100 usahawan.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, WEP akan membabitkan peserta yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari lebuh raya kendalian syarikat itu sekali gus tidak perlu bergerak jauh untuk mengikuti kursus dan latihan.

“Menerusi inisiatif ini, kita menitikberat tiga perkara iaitu pertama dari segi memberi latihan yang sepatutnya dan mencukupi kepada peserta dalam menjalankan perniagaan, proses kira-kira selain persiapan makanan dan produk.

“Seterusnya program pengkhususan dari segi peluang perniagaan yang kita beri kepada mereka. Kita juga membantu dengan tidak mengenakan sebarang bayaran sewaan dalam tempoh dua tahun.

“Ketiga program mentor iaitu peniaga sedia ada yang berniaga ketika ini
di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) akan turut membantu peserta terbabit mengenai perniagaan,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran WEP di Kawasan R&R Dengkil (Arah Selatan) baru-baru ini.

Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Pendaftaran untuk WEP akan dibuka pada 15 April ini dan saringan pemohon akan dibuat bersama Jabatan Pembangunan Wanita berdasarkan kriteria ditetapkan seterusnya pengambilan pertama bermula Ogos.

Peserta terbabit berpeluang menjalankan perniagaan makanan atau kraftangan berkonsepkan Push Cart atau kios di R&R PLUS dalam tempoh dua tahun program itu berlangsung.

Kata Azman, menerusi program ini peserta tidak terikat untuk berniaga di R&R PLUS kerana mereka yang ingin berniaga di luar selepas menimba pengalaman dan latihan pun dibenarkan.

“Apa yang penting, kita beri mereka latihan supaya golongan wanita terpilih dapat berdaya maju dan mempunyai kelestarian dalam perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya ketika melancarkan program itu memuji inisiatif dilakukan pihak PLUS Malaysia Berhad dalam melaksanakan program seumpama itu bagi membantu golongan wanita dalam bidang usahawan.

Katanya, usaha PLUS membuktikan pihak swasta juga boleh memainkan peranan memajukan masyarakat dan tidak hanya bergantung kepada program atau bantuan kerajaan.

“Inisiatif PLUS ini seharusnya dilihat sebagai contoh bagaimana pihak swasta dan syarikat korporat lain boleh membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

“Kerjasama strategik antara kerajaan dan PLUS menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi wanita. Saya berkeyakinan terhadap keupayaan PLUS untuk melahirkan generasi usahawan baru dengan pembabitan lebih ramai wanita yang turut memainkan peranan penting dalam memajukan negara,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, program dijalankan PLUS selaras dengan hasrat kementeriannya iaitu memberi fokus terhadap memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan ekonomi.

“Perkhidmatan ditawarkan PLUS melalui Kawasan Rehat & Rawat (R&R) menyediakan banyak peluang untuk rakyat berniaga dan memasarkan produk mereka terus kepada pelanggan lebuh raya.

“Sehingga kini 46 peratus peniaga adalah wanita dan tujuh peratus daripadanya adalah ibu tunggal,” katanya

Program WEP julung kali diperkenalkan PLUS mendapat sokongan penuh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya. Lebih 600 gerai beroperasi di R&R PLUS pada ketika ini.

Penduduk sekitar diberi peluang untuk berniaga di 24 R&R, empat restoran jejantas serta 46 hentian sebelah di sepanjang rangkaian lebuhraya PLUS dan mereka memperoleh banyak manfaat hasil kewujudan lebuh raya ini.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 9:00am
d