mutakhir

Polis serbu rumah haram

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEBANYAK 43 rumah haram atau setinggan dikesan didirikan di beberapa lokasi sekitar Tawau dalam Operasi Bersepadu `Ops Sarang’ yang diselaraskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, ketika dihubungi berkata, operasi itu tertumpu di beberapa penempatan termasuk perkampungan atas air, antaranya Kampung Titingan (Ice Box) yang dikenal pasti sebagai ‘lokasi panas’.

Katanya, dalam operasi kira-kira lima jam yang bermula 8 pagi itu, lebih 250 rumah diperiksa di beberapa blok penempatan dan kampung atas air.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 43 rumah didapati didirikan secara haram tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan dipercayai dihuni oleh pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya, di sini.

Fadil berkata, operasi itu juga bertujuan menghapuskan penempatan PATI sekali gus membanteras aktiviti jenayah dan kegiatan penyalahgunaan dadah selain menangani masalah sosial di perkampungan terbabit.

“Polis memandang serius masalah kebanjiran dan penempatan haram PATI di daerah ini dan operasi berterusan akan dijalankan secara agresif bagi membendung kegiatan jenayah selain masalah dadah selaras slogan Ke Arah Tawau Sejahtera,” katanya.

Dalam operasi itu, lima individu turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 11:12am
d