mutakhir

Pemancing, kru bot tempatan ditahan Indonesia

Oleh Mohd Roji Kawi

SERAMAI 11 pemancing bersama dua kru bot warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia berhampiran sempadan perairan antarabangsa di Tanjung Datu, Sematan, kelmarin.

Difahamkan, kejadian disedari selepas pemilik bot menerima panggilan daripada pekerjanya pada 11 malam, Selasa lalu, memaklumkan bot miliknya dengan nombor pendaftaran SF 166 ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 11.05 pagi, hari yang sama.

Bertindak atas maklumat itu, pemilik bot yang berusia 62 tahun membuat laporan di Balai Polis Tabuan Jaya berhubung kejadian berkenaan.

Sumber memberitahu NSTP, ketika kejadian, bot berkenaan sememangnya berada dalam kawasan perairan negara iaitu pada kedudukan Latitud 02-09-600 Utara dan Longitud 110-10-261 Timur.

“Kesemua mangsa berusia antara 16 hingga 53 tahun, dengan sembilan daripadanya berasal dari Lundu, manakala dua lagi dari Kuching. Dua kru bot pula berasal dari Kuching, terdapat seorang lagi kru warga Indonesia.

“Ia bukannya bot nelayan komersial, sebaliknya digunakan untuk menyediakan perkhidmatan membawa kaki pancing,” katanya.

Ketika ini, bot berkenaan dikatakan masih ditahan di Pontianak, Kalimantan Barat bagi proses siasatan.

Bagaimanapun, sehingga pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 11:23am
d