mutakhir

[UPDATE] TPM ke Pasir Gudang petang ini

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan Pasir Gudang petang ini sebelum membuat keputusan termasuk pengisytiharan darurat di kawasan bencana pencemaran toksid beracun itu.

Dr Wan Azizah berkata, beliau akan melihat sendiri situasi di kawasan terjejas dan bermesyuarat dengan Kerajaan Negeri Johor serta pihak berwajib bagi menangani krisis itu segera.

“Buat masa ini situasi itu masih di peringkat kerajaan negeri belum Pusat dan isytihar darurat perlu dibuat berhati-hati kerana kita tidak mahu rakyat panik.

“Kita akan ambil langkah seperti yang disyorkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin,” katanya.

Beliau bercakap kepada media di lobi Parlimen mengulas perkembangan terkini tragedi pencemaran buangan sisa toksid yang mengakibatkan lebih 500 mangsa mengalami masalah kesihatan sehingga kini.

Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Osman Dapian berkata, kerajaan negeri tidak perlu mengisytiharkan darurat disebabkan pencemaran akibat pembuangan sisa toksik secara haram di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berikutan keadaan masih terkawal.

Katanya, pada masa sama, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas bagi menjalankan siasatan terperinci termasuk aspek forensik dalam kes itu.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati radius pencemaran udara menjangkau kawasan seluas 15 kilometer dari sungai berkenaan akibat pengewapan, angin kencang dan hujan.

Dr Wan Azizah berkata, berkaitan evakuasi yang dicadangkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat masih belum perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, semua persiapan sudah dibuat oleh jabatan itu jika perancangan terbabit perlu dilakukan.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 12:06pm
    d