mutakhir

Lelaki mati ditimpa tangki pelarut

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG pengimpal maut ditimpa tangki pelarut ketika membuat kerja kimpalan di sebuah kilang pembuatan bejana tekanan tidak berapi di Lahat, Ipoh, petang semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Goh Weng Hoo, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa ditimpa bahagian lantai tangki atau ‘bottom shell’ yang terjatuh daripada mesin pemutar atau ‘rotator’ ketika sedang membuat kerja kimpalan untuk pembuatan tangki pelarut (solvent tank farm).

“Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan di tempat kerja itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan daripada siasatan dijalankan pihaknya mengarahkan semua kerja membabitkan penggunaan pemutar dihentikan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Sebanyak dua notis larangan dikeluarkan kepada majikan membabitkan kegagalan mewujudkan prosedur kerja selamat dan mengadakan penaksiran risiko bagi kerja penggunaan pemutar.

“Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya ada perlanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994,” katanya.

Zamzurin berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam kerana kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif.

“Ini termasuk mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan Bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

“Semua majikan digesa untuk mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 2:54pm
d