mutakhir

KKM nafi lewat bertindak

Oleh Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan menafikan lewat bertindak bagi menangani kes pencemaran toksid di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sudah bertindak sejak hari pertama kejadian itu dan memberikan rawatan kepada setiap kes, baik yang serius mahupun ringan.

“Jadi isu (konon) kementerian lambat adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, kesan pencemaran toksid beracun itu kepada mangsa adalah berdasarkan kadar serapan bahan itu oleh badan.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, tiada kematian akibat keracunan bahan kimia berkenaan.

“Kita ada buat rawatan antidot dan kesannya sangat mujarab dan sehingga kini, saya dimaklumkan semua yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Kabinet akan membincangkan termasuk cadangan pengisytiharan darurat di kawasan terjejas di Pasir Gudang esok.

Beliau berkata, Jemaah Menteri akan meneliti cadangan berkenaan selepas melihat situasi terkini pencemaran udara akibat buangan sisa toksid di Sungai Kim Kim kerana ia di bawah tanggungjawab menteri dan timbalan menteri yang terbabit.

“Kita akan buat perbincangan dalam Kabinet esok (hari ini) untuk teliti usul dan cadangan berkenaan.

“Jangan tanya lagi kerana ia akan dilakukan esok,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata, sebanyak 162 kes membabitkan mangsa yang terjejas sehingga, semalam.

Menurutnya, ia menjadikan sebanyak 937 kes yang dilaporkan dan mendapat rawatan di semua fasiliti kementerian di daerah terjejas itu.

“Terdapat 12 pesakit di ICU tapi tiada kanak-kanak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 3:09pm
    d