mutakhir

Nelayan tempatan perlu jadi 'mata dan telinga'

Oleh Mohd Roji Kawi

KEBERKESANAN usaha mengekang pencerobohan nelayan asing hanya dapat dicapai dengan kerjasama nelayan tempatan yang bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak, Intan Suhaila Othman berkata, komuniti nelayan berada di barisan hadapan dan sentiasa melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Justeru, katanya, mereka mudah mengesan kehadiran bot mencurigakan yang menangkap ikan di perairan negara.

“Mereka harus melaporkannya segera kepada LKIM atau terus kepada pihak berkuasa maritim seperti Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Setakat ini kami tidak menerima laporan daripada nelayan tempatan berhubung pencerobohan nelayan asing, tetapi di Semenanjung sudah banyak aduan diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Buntal Ke-14, di Santubong.

Intan Suhaila berkata, pencerobohan nelayan asing menjadi masalah yang harus ditangani bersama kerana mereka mengaut kekayaan hasil laut negara.

Sementara itu, nelayan pantai dari Kampung Santubong, Yahya Ahmad, 62, berkata, dia pernah terserempak bot nelayan asing ketika bekerja dengan kapal perikanan laut beberapa tahun lalu.

“Biasanya mereka menceroboh di kawasan laut dalam iaitu di Zon C dan saya sendiri pernah menyaksikannya.

“Pencerobohan itu dilakukan oleh bot kecil yang menangkap ikan, mereka kemudian menghantar hasil tangkapan ke sebuah kapal besar yang menunggu di perairan antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun Yahya berkata, sejak bertukar menjadi nelayan pantai di Zon A, dia kini tidak lagi berpeluang untuk menjadi mata dan telinga memantau pencerobohan nelayan asing itu.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 3:25pm
d