mutakhir

Ditahan ugut bapa saudara

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

TIDAK puas hati dengan bapa saudaranya yang membuat laporan polis terhadapnya, seorang lelaki mengugut mahu membunuh warga emas itu.

Dalam kejadian jam 8 malam, 5 Mac lalu di sebuah rumah di Kampung Batu Putih, Chendering, Kuala Terengganu, mangsa berusia 61 tahun yang sedang berehat didatangi suspek dalam keadaan marah dan memberitahu mahu bergaduh dengannya.

Sumber berkata, suspek yang datang dengan bersenjatakan sebilah golok mengugut mahu menikam dan membunuh mangsa kerana dikatakan tidak puas hati dengan tindakan warga emas itu melaporkan perbuatan ganasnya sebelum ini kepada polis.

“Suspek dikatakan berang selepas mendapat tahu mangsa membuat laporan polis berkaitan tindakan ganas dilakukannya terhadap mangsa dan harta bendanya sebelum ini dan mengugut mahu membunuhnya.

“Akibat ugutan suspek, warga emas itu yang bekerja sebagai nelayan diselubungi ketakutan untuk meninggalkan keluarganya di rumah bagi turun ke laut mencari rezeki buat isteri dan anak-anaknya.

“Mangsa yang bimbang keselamatan keluarganya membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan laporan berkenaan, suspek yang bekerja sebagai nelayan ditahan reman empat hari bermula 11 Mac lalu hingga hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Bagaimanapun, hari ini Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Wan Aziantie Wan Ab Karim melanjutkan perintah tahanan reman tiga hari lagi sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut seksyen sama.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 4:34pm
d