mutakhir

Bekas polis dipenjara, didenda

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

BEKAS anggota polis dipenjara selama empat bulan dan didenda sebanyak RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Madihah Harullah selepas tertuduh, Mohd Fairuz Abd Jalil, 33, membuat pengakuan terbabit di hadapannya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama 20 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Fairuz didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000, RM5,000 dan RM2,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk melepaskan, seterusnya tidak mengambil tindakan kerana membawa dan menjual rokok seludup di Taman Kiara, Sikamat.

Perbuatan itu dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu di Balai Polis Sikamat, kedai serbaneka di Taman Sri Pulai dan Berek Balai Polis Sikamat antara 7 hingga 13 Disember 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 5:31pm
d