mutakhir

Jual nama istana, elak disaman

Oleh Zaid Salim

TINDAKAN lelaki menunjukkan kad Darjah Kebesaran (DK) bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal apabila saman tetap dikeluarkan terhadap lelaki terbabit.

Lelaki yang mendakwa berstatus ‘Tengku’ berusia 49 tahun dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu disaman kerana kereta BMW dipandunya tamat tempoh cukai jalan dan tidak memiliki insuran kenderaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, ketika ditahan, lelaki itu mendakwa kononnya dia daripada kalangan kerabat istana.

“Bagi membuktikan dakwaannya, lelaki itu kemudian menunjukkan kad DK yang dimilikinya kepada anggota bertugas.

“Namun status ‘Tengku’ pada kad berkenaan mencurigakan apabila status itu tidak tercatat pada kad pengenalan lelaki terbabit dan jelas menunjukkan dia bukan daripada kalangan istana,” katanya.

Menurut Zulkarnain, lelaki itu yang menggunakan logo istana pada bahagian hadapan kereta disaman dalam Ops Khas Bersepadu JPJ Bersama Agensi Penguat kuasa di sekatan jalan raya di Jalan Sultan Mohamad 9.55 malam tadi.

“Salah tetap salah dan saman dikeluarkan atas kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

“Kita tidak ada kompromi dengan pesalah jalan raya dan tidak memilih bulu untuk mengeluarkan saman,” katanya ditemui selepas operasi itu.

Operasi jam 3 petang hingga 12 tengah malam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membabitkan 83 orang.

Selain Jalan Sultan Mohamad, operasi diketuai Timbalan Pengarah JPJ Terengganu, Razali Omar juga diadakan di tiga lagi lokasi iaitu Jalan Tengku Mizan, Pesiaran Pulau Warisan dan Jalan Chendering.

Zulkarnain berkata, sepanjang operasi, pihaknya mengeluarkan 427 saman dan notis membabitkan pelbagai kesalahan.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 6:09pm
d