mutakhir

Pemancing dan kru bot rakyat Malaysia dibebaskan

Oleh BERNAMA

SEBELAS pemancing rakyat Malaysia dan tiga kru sebuah bot pancing milik warga tempatan yang ditahan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di sempadan perairan negara semalam dibebaskan hari ini.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, hasil rundingan antara APMM dengan TNI membawa kepada persetujuan untuk melepaskan bot nelayan itu 2 petang ini.

“Bot itu kini dalam perjalanan balik ke Kuching dan dijangka tiba 3 petang esok.

“Kejayaan ini adalah hasil jaringan kerjasama baik antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Bot yang membawa tiga kru termasuk seorang warga Indonesia serta 11 penumpang warga tempatan ditahan TNI pada kedudukan 53.2 batu nautika utara Tanjung Datu 9 pagi semalam.

Teh berkata, pemilik bot dihubungi oleh tekong mengenai penahanan itu jam 7.12 pagi tadi melalui khidmat pesanan ringkas sebelum membuat laporan polis.

Justeru, beliau menasihatkan pemilik bot nelayan menjauhi kawasan berhampiran dengan sempadan negara jiran bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 6:20pm
d