mutakhir

Askar hantar pakar ke Pasir Gudang [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

EMPAT pegawai dan 21 anggota Unit Peninjau Chemical Biological, Radilogical and Nuclear (CBRN) dari 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilengkapi peralatan khusus serta pakar dalam mengendalikan sisa bahan kimia beracun digerakkan ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, hari ini.

Pasukan itu yang dilengkapi peralatan khas seperti ChemPro, Lightweight Chemical Detector (LCD), Sampling Equipment, CBRN Protective Suit (Complete), Tyvek Suit, Breathing Apparatus (BA), Nitrile Glove dan N95 Mask akan membantu pasukan Hazardous Materials Management (HAZMAT) dalam melaksanakan operasi pembersihan di tempat kejadian.

Tentera Darat (TD) dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain pasukan, TD juga akan menghantar pasukan Nyah Cemar CBRN bagi melaksanakan tugas pembersihan di situ.

“Buat masa ini, pasukan peninjau CBRN itu sudah melapor di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

“Jadi, kini kita menunggu pelepasan pasukan Nyah Cemar CBRN bagi membantu kerja pembersihan di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, TD juga turut menghantar pasukan Casualty Evacuation Unit (CEU) dari 2 Batalion Ubat.

Katanya, pasukan itu terdiri daripada seorang pegawai perubatan serta tiga paramedik bersama sebuah unit ambulans yang akan bergabung dgn pasukan Peninjaun dan pasukan Nyah Cemar CBRN.

“Kesemua pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi itu ditempatkan di Rejimen 501 Askar Wataniah, Kem Tebrau, Johor Bahru,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 6:49pm
d