mutakhir

Penduduk buat keputusan berpindah

Oleh Mary Victoria Dass

HAMPIR 30 peratus penduduk Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi lain untuk sementara waktu.

Pengerusi Penaja Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA), Muhammad Fauzi Rohani berkata, pemindahan penduduk berlaku sejak kelmarin dan mula ketara pada pagi hari ini.

Menurutnya, kebanyakan penduduk berpindah selepas berpendapat keselamatan mereka tidak lagi terjamin akibat kejadian itu.

Katanya, bagaimanapun sesetengah penduduk mengambil keputusan hanya untuk memindahkan anak dan ibu bapa mereka kerana memikirkan keselamatan harta benda perlu dipantau.

“Sekiranya semua penduduk meninggalkan rumah, siapa pula akan menjaga harta benda kami kecuali sekiranya pengumuman darurat bencana diumumkan.

“Malah penduduk kecewa kerana sehingga kini tiada pengumuman tepat berkaitan impak bencana yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Izurin Muhammad Amin berkata, anak dan isterinya berpindah ke Iskandar Puteri sementara menunggu krisis berakhir.

“Kami mengambil tindakan sendiri iaitu berpindah secara sukarela biarpun kerajaan negeri menyatakan keadaan selamat.

“Ini kerana, kami yang tinggal di sini merasakan keadaan semakin buruk.

“Perlukah kami menunggu sehingga nasi menjadi bubur? Apabila difikirkan apa yang terbaik, kami mengambil keputusan berpindah bagi mengelak risiko kehilangan nyawa dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Penaja BBPIPA, Mohd Rafee Abdullah berkata, pihaknya berharap kerja pembersihan dijalankan dengan sempurna dan agensi berkaitan berterus terang dengan situasi semasa.

“Kami mungkin tidak faham masalah dihadapi mereka, namun mereka perlu berterus terang kerana kejadian ini membabitkan nyawa.

“Pada masa sama, kami berharap dalang kejadian ini dikenakan penalti maksimum sebagai pengajaran supaya kes membahayakan nyawa manusia serta merosakkan alam sekitar tidak berulang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 7:33pm
    d