mutakhir

Topeng muka laris...

Oleh Mary Victoria Dass

JUALAN topeng muka di beberapa farmasi di sekitar Pasir Gudang laris hingga sesetengah farmasi kehabisan stok mulai hari ini.

Jurucakap sebuah farmasi di Pasir Gudang berkata, sejak kelmarin, jualan topeng muka di farmasi mencecah hingga 500 keping sehari.

Menurutnya, permintaan topeng jenis R-95 paling tinggi, namun kebanyakan farmasi tidak menjual topeng berkenaan menyebabkan penduduk terpaksa membeli topeng N-95.

“Walaupun jenis topeng berbeza, ia tetap laris hingga tidak dapat menampung jumlah permintaan.

“Keadaan itu menyebabkan orang ramai hanya dapat membeli penutup hidung dan muka.

“Setiap satu topeng N-95 dijual dengan harga RM6 manakala penutup hidung biasa dijual dengan hrga RM5.50 sekotak.

“Kami sudah menempah stok bagi menampung permintaan ramai, sekali gus membolehkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Shafoureezal Shalan berkata, dia dan keluarganya terpaksa mendapatkan topeng muka di farmasi luar Pasir Gudang berikutan bekalan barangan berkenaan kehabisan stok.

“Saya difahamkan penutup mulut dan hidung tidak memadai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 8:05pm
    d