mutakhir

Sumbat 146 tong gas dalam rumah

Oleh Ibrahim Isa

PADAH menjadikan rumah sebagai stor menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, seorang wanita lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati bersalah menjual barang kawalan tanpa lesen.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, sepasukan enam pegawai KPDNHEP menyerbu rumah wanita itu di Iskandar Puteri, Johor pada jam 9 malam semalam, selepas melakukan intipan selama seminggu berhampiran rumah suspek.

Katanya, serbuan menerusi Ops Barang Kawalan Berjadual LPG itu dilakukan selepas pihaknya mendapati rumah itu dijadikan stor menyimpan LPG secara tidak sah.

“Pasukan kami melakukan serbuan dan hasilnya, kami merampas pelbagai jenama tong LPG saiz 14 kilogram (kg) termasuk sebanyak 69 tong mempunyai isi dan 77 tong LPG kosong.

“Selain itu, kami merampas sebuah lori satu tan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM58,515.

“Kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan berjadual dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan urus niaga barang kawalan berjadual LPG tanpa lesen sah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini menyiasat pembekal yang membekalkan LPG kepada premis tidak berlesen itu dan tindakan akan diambil mengikut Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan bekalan 1974, sabit kesalahan, pemilik rumah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bermula Januari lalu, sebanyak tiga kes sudah direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM95,888 manakala tahun lalu, sebanyak 11 kes direkodkan dengan jumlah rampasan bernilai RM431,601.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 9:26pm
d