mutakhir

Dicekup tengah bungkus ketum

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI warga Myanmar yang sedang leka membungkus daun ketum tidak sempat melarikan diri apabila kawasan pondok kayu di Kampung Lampam, Kubur Panjang, diserbu polis semalam.

Dalam serbuan 7.30 malam itu, suspek berusia 47 tahun itu dipercayai mengambil upah membungkus daun ketum yang dipercayai dihantar individu lain di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam serbuan itu, anggotanya mendapati lelaki itu sedang duduk mencangkung di atas lantai pondok berkenaan.

Beliau berkata, lokasi itu yang terletak di kawasan kampung itu dipercayai menjadi transit untuk pembungkusan daun ketum.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, lokasi itu dipercayai baru sebulan beroperasi dan berdasarkan maklumat dan risikan, pihaknya berjaya mengesan port berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui 140 kilogram daun ketum yang siap dibungkus dan alat penimbang.

“Nilai daun ketum yang dirampas bernilai RM4,200 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bersama lelaki itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arriz Sham berkata, lelaki itu dipercayai menerima upah sebanyak RM3 untuk sekilogram daun ketum berkenaan.

Beliau berkata, suspek dipercayai sudah berkahwin dan menetap di negara ini sejak dua tahun lalu dengan bekerja sebagai pembungkus daun ketum.

“Bagaimanapun hasil ujian saringan awal air kencing suspek mendapati dia bebas dari pengaruh dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,”katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 8:49am
d